Minuman berkarbonat memang popular dalam kalangan masyarakat. Tidak 
kira musim, minuman menjadi hidangan terutamanya apabila berkunjung ke 
premis makanan segera. Datang dengan pelbagai jenama minuman berkarbonat
 menjadi hidangan apatah lagi pada musim perayaan.
Biar apa jenamanya, secara umum, kandungan minuman berkarbonat adalah sama  banyak gula.
Selalunya
 soal kesihatan dan aspek pemakanan sering dipinggirkan seketika pada 
musim perayaan. Walaupun tahu minuman berkarbonat tinggi kandungan 
gulanya, kebanyakan kita menghidangkannya kepada keluarga mahupun tetamu
 tanpa rasa bersalah.
Tarikan iklan yang menceritakan 'keasyikan' menikmati minuman ringan dan berkarbonat memang sukar dilawan.
Malah,
 lebih membimbangkan, minuman berkarbonat juga menjadi antara daya 
penarik utama di kantin sekolah, termasuk sekolah rendah.
Sedar 
atau tidak, kanak-kanak akan menjadi mangsa kerana kealpaan kita. 
Kanak-kanak antara golongan paling suka minum minuman berkarbonat hingga
 kadangkala ada yang langsung menolak apabila diberikan air kosong. Jika
 minum pun hanya seteguk dua, itupun selepas dipaksa.
Kajian 
mendapati, pengambilan minuman ringan dan berkarbonat yang berlebihan 
akan menyumbang kepada masalah kesihatan, terutama berlebihan berat 
badan dan obesiti.
Minuman berkarbonat sebenarnya tidak 
mengandungi zat, tetapi banyak kalori yang datang daripada gula. Banyak 
bukti saintifik menunjukkan ia ada kaitan langsung dengan pertambahan 
berat badan.
Masalah pertambahan berat badan ini menjadi satu 
faktor risiko kepada penyakit kencing manis di kalangan orang dewasa 
muda. Pertambahan berat badan ini adalah proses yang sentiasa berlaku 
sebagaimana peningkatan usia. Gabungan dua faktor ini juga mendedahkan 
seseorang kepada risiko serangan jantung dan strok.
Obesiti membimbangkan
Masalah
 obesiti di kalangan kanak-kanak kini mencecah tahap membimbangkan. 
Kanak-kanak yang minum satu tin minuman berkarbonat (325 mililiter) 
setiap hari mempunyai lebih kurang 10 peratus tenaga berbanding 
kanak-kanak lain. Tenaga ini (yang datang daripada gula), jika tidak 
digunakan, akan disimpan dalam badan sebagai lemak.
Kajian yang 
disiarkan dalam jurnal General Dentistry mendapati, tabiat minum minuman
 berkarbonat boleh meningkatkan masalah kerosakan dan pereputan gigi.
Pakar Pemakanan Institut Jantung Negara (IJN), Ho Shiau Fen, mengakui hakikat ini.
Bukan
 gula saja yang menjadi faktor menyebabkan kerosakan gigi, tetapi 
kandungan asid dalam minuman berkarbonat boleh melemah serta mengikis 
lapisan enamel (lapisan luar) pada gigi. Ini mempercepatkan proses 
pereputan gigi.
"Mengikut saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia 
(WHO), pengambilan gula tidak boleh melebihi 10 peratus daripada 
keperluan kalori seseorang. Sebagai contohnya, jika keperluan kalori 
seseorang itu adalah 2000 kalori, jumlah gula yang boleh diambil adalah 
kurang daripada 200 kalori, iaitu kira-kira 10 sudu teh gula.
Jumlah
 ini termasuk gula tersembunyi. Ini adalah jumlah yang diperoleh 
daripada setiap makanan kita, sama ada dalam teh, kopi atau makanan yang
 bergula ketika bersarapan, makanan sarapan, makanan tengah hari, sajian
 minum petang dan makan malam.
"Satu tin minuman berkarbonat 
mengandungi antara enam hingga 10 sudu teh gula. Ini bermakna, jika kita
 minum satu tin minuman berkarbonat, kita sudah mencapai sukatan gula 
daripada yang disarankan.
"Masalah pengambilan gula yang terlalu 
banyak biasa berlaku pada musim perayaan. Boleh dikatakan setiap rumah 
menghidangkan minuman berkarbonat. Itu belum mengambil kira kandungan 
gula dalam kek, biskut atau hidangan lain," katanya.
Ramai orang 
menganggap tidak mengapa untuk minum satu tin minuman berkarbonat, 
asalkan ia diiringi beberapa gelas air kosong. Mereka percaya air kosong
 akan 'mencairkan' kepekatan minuman berkarbonat.
Hakikatnya, 
anggapan ini salah dan perlu diperbetulkan segera. Tidak kira berapa 
banyak air kosong diminum, kandungan gula daripada minuman berkarbonat 
yang masuk ke dalam badan tetap sama. Tetap melebihi tahap keperluan 
harian kita. Masalah ini bertambah buruk dengan pengambilan makanan 
manis seperti kek dan biskut hari raya.
Untuk mengurangkan kuantiti gula diambil, kurangkan pengambilan minuman berkarbonat adalah cara paling praktikal.
Ini
 boleh dibancuh atau dicampur dengan air kosong dan dikongsi minum 
beramai-ramai. Bagaimanapun, jika air dibancuh dihabiskan sendirian, 
kandungan gula yang masuk ke badan tetap sama, iaitu antara enam hingga 
10 sudu teh.
Di kalangan kanak-kanak pula, terlalu banyak minum 
minuman berkarbonat menyebabkan mereka kurang minum air kosong atau 
minuman berkhasiat seperti susu. Selain gula, kebanyakan minuman kola 
memasukkan kafein sebagai penambah rasa. Kafein adalah 'bahan 
perangsang' yang membuatkan kita ketagih untuk minum lebih banyak dan 
kerap.
Banyak kajian mendapati, kafein meningkatkan pengeluaran 
kalsium daripada tulang, menyebabkan kita terdedah kepada masalah reput 
tulang atau osteoporosis jika diambil dalam jangka masa panjang.
Justeru,
 jika dapat, pada musim perayaan ini elak mengambil terlalu banyak 
minuman berkarbonat, sebaliknya gantikan dengan pilihan lain seperti teh
 atau jus buah-buahan.
Malangnya, budaya orang kita yang menerima
 saja minuman dihidang tuan rumah boleh memburukkan keadaan, terutama di
 kalangan pesakit kencing manis.
Dalam hal ini, Ho menyarankan 
pesakit berterus terang dengan tuan rumah atau meminta minuman lain 
(pilihan terbaik adalah air kosong) sebagai pengganti. Malah, sebagai 
tuan rumah juga, kita mesti prihatin keadaan kesihatan tetamu.
Ibu bapa juga perlu mendidik anak mengenai keburukan meminum terlalu banyak minuman berkarbonat.
Pada masa sama, mereka juga mesti menjadi teladan kepada anak dengan mengamalkan minum banyak air kosong