Pages

Isnin, 21 Oktober 2013

KESAN PENDEDAHAN BERPANJANGAN TERHADAP ASAP EKZOS

Kesan Pendedahan Berpanjangan Terhadap Asap Ekzos

Otak manusiaAsap ekzos tingkat tekanan pada otak

Penyelidikan toksikologi di Universiti Zuyd, Belanda mendapati pendedahan singkat kepada asap ekzos kenderaan sudah cukup untuk meningkatkan tekanan kepada otak manusia.

Hasil penyelidikan itu menunjukkan partikel halus (nanoparticle) di dalam asap ekzos yang disedut akan menyebabkan perubahan pada aktiviti otak.

Kajian dijalankan dengan memantau aktiviti otak dua kumpulan sukarelawan didedahkan sama ada kepada udara bersih atau asap ekzos selama satu jam menggunakan alat elektroencephalograf (EEG).

Sukarelawan yang didedahkan kepada asap ekzos dilihat mula menunjukkan tekanan ke atas bahagian korteks otak selepas 30 minit.

Kepekatan asap ekzos pada ketika itu pula adalah bersamaan dengan jumlah yang paling tinggi dihadapi orang ramai di jalan raya yang sibuk.

Kesan pendedahan berpanjangan kepada asap ekzos tidak dapat dipastikan sepenuhnya tetapi didakwa mungkin mengganggu fungsi otak yang normal termasuk keupayaan memproses maklumat baru.

Selain itu, pendedahan kronik asap ekzos juga mungkin menyebabkan tekanan oksidatif yang telah dikaitkan dengan penyakit otak seperti Parkinson dan Alzheimer.

KEBURUKAN MINUMAN BERKARBONAT

Minuman berkarbonat memang popular dalam kalangan masyarakat. Tidak kira musim, minuman menjadi hidangan terutamanya apabila berkunjung ke premis makanan segera. Datang dengan pelbagai jenama minuman berkarbonat menjadi hidangan apatah lagi pada musim perayaan.

Biar apa jenamanya, secara umum, kandungan minuman berkarbonat adalah sama banyak gula.

Selalunya soal kesihatan dan aspek pemakanan sering dipinggirkan seketika pada musim perayaan. Walaupun tahu minuman berkarbonat tinggi kandungan gulanya, kebanyakan kita menghidangkannya kepada keluarga mahupun tetamu tanpa rasa bersalah.

Tarikan iklan yang menceritakan 'keasyikan' menikmati minuman ringan dan berkarbonat memang sukar dilawan.

Malah, lebih membimbangkan, minuman berkarbonat juga menjadi antara daya penarik utama di kantin sekolah, termasuk sekolah rendah.

Sedar atau tidak, kanak-kanak akan menjadi mangsa kerana kealpaan kita. Kanak-kanak antara golongan paling suka minum minuman berkarbonat hingga kadangkala ada yang langsung menolak apabila diberikan air kosong. Jika minum pun hanya seteguk dua, itupun selepas dipaksa.

Kajian mendapati, pengambilan minuman ringan dan berkarbonat yang berlebihan akan menyumbang kepada masalah kesihatan, terutama berlebihan berat badan dan obesiti.

Minuman berkarbonat sebenarnya tidak mengandungi zat, tetapi banyak kalori yang datang daripada gula. Banyak bukti saintifik menunjukkan ia ada kaitan langsung dengan pertambahan berat badan.

Masalah pertambahan berat badan ini menjadi satu faktor risiko kepada penyakit kencing manis di kalangan orang dewasa muda. Pertambahan berat badan ini adalah proses yang sentiasa berlaku sebagaimana peningkatan usia. Gabungan dua faktor ini juga mendedahkan seseorang kepada risiko serangan jantung dan strok.

Obesiti membimbangkan

Masalah obesiti di kalangan kanak-kanak kini mencecah tahap membimbangkan. Kanak-kanak yang minum satu tin minuman berkarbonat (325 mililiter) setiap hari mempunyai lebih kurang 10 peratus tenaga berbanding kanak-kanak lain. Tenaga ini (yang datang daripada gula), jika tidak digunakan, akan disimpan dalam badan sebagai lemak.

Kajian yang disiarkan dalam jurnal General Dentistry mendapati, tabiat minum minuman berkarbonat boleh meningkatkan masalah kerosakan dan pereputan gigi.

Pakar Pemakanan Institut Jantung Negara (IJN), Ho Shiau Fen, mengakui hakikat ini.

Bukan gula saja yang menjadi faktor menyebabkan kerosakan gigi, tetapi kandungan asid dalam minuman berkarbonat boleh melemah serta mengikis lapisan enamel (lapisan luar) pada gigi. Ini mempercepatkan proses pereputan gigi.

"Mengikut saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pengambilan gula tidak boleh melebihi 10 peratus daripada keperluan kalori seseorang. Sebagai contohnya, jika keperluan kalori seseorang itu adalah 2000 kalori, jumlah gula yang boleh diambil adalah kurang daripada 200 kalori, iaitu kira-kira 10 sudu teh gula.

Jumlah ini termasuk gula tersembunyi. Ini adalah jumlah yang diperoleh daripada setiap makanan kita, sama ada dalam teh, kopi atau makanan yang bergula ketika bersarapan, makanan sarapan, makanan tengah hari, sajian minum petang dan makan malam.

"Satu tin minuman berkarbonat mengandungi antara enam hingga 10 sudu teh gula. Ini bermakna, jika kita minum satu tin minuman berkarbonat, kita sudah mencapai sukatan gula daripada yang disarankan.

"Masalah pengambilan gula yang terlalu banyak biasa berlaku pada musim perayaan. Boleh dikatakan setiap rumah menghidangkan minuman berkarbonat. Itu belum mengambil kira kandungan gula dalam kek, biskut atau hidangan lain," katanya.

Ramai orang menganggap tidak mengapa untuk minum satu tin minuman berkarbonat, asalkan ia diiringi beberapa gelas air kosong. Mereka percaya air kosong akan 'mencairkan' kepekatan minuman berkarbonat.

Hakikatnya, anggapan ini salah dan perlu diperbetulkan segera. Tidak kira berapa banyak air kosong diminum, kandungan gula daripada minuman berkarbonat yang masuk ke dalam badan tetap sama. Tetap melebihi tahap keperluan harian kita. Masalah ini bertambah buruk dengan pengambilan makanan manis seperti kek dan biskut hari raya.

Untuk mengurangkan kuantiti gula diambil, kurangkan pengambilan minuman berkarbonat adalah cara paling praktikal.

Ini boleh dibancuh atau dicampur dengan air kosong dan dikongsi minum beramai-ramai. Bagaimanapun, jika air dibancuh dihabiskan sendirian, kandungan gula yang masuk ke badan tetap sama, iaitu antara enam hingga 10 sudu teh.

Di kalangan kanak-kanak pula, terlalu banyak minum minuman berkarbonat menyebabkan mereka kurang minum air kosong atau minuman berkhasiat seperti susu. Selain gula, kebanyakan minuman kola memasukkan kafein sebagai penambah rasa. Kafein adalah 'bahan perangsang' yang membuatkan kita ketagih untuk minum lebih banyak dan kerap.

Banyak kajian mendapati, kafein meningkatkan pengeluaran kalsium daripada tulang, menyebabkan kita terdedah kepada masalah reput tulang atau osteoporosis jika diambil dalam jangka masa panjang.

Justeru, jika dapat, pada musim perayaan ini elak mengambil terlalu banyak minuman berkarbonat, sebaliknya gantikan dengan pilihan lain seperti teh atau jus buah-buahan.

Malangnya, budaya orang kita yang menerima saja minuman dihidang tuan rumah boleh memburukkan keadaan, terutama di kalangan pesakit kencing manis.

Dalam hal ini, Ho menyarankan pesakit berterus terang dengan tuan rumah atau meminta minuman lain (pilihan terbaik adalah air kosong) sebagai pengganti. Malah, sebagai tuan rumah juga, kita mesti prihatin keadaan kesihatan tetamu.

Ibu bapa juga perlu mendidik anak mengenai keburukan meminum terlalu banyak minuman berkarbonat.

Pada masa sama, mereka juga mesti menjadi teladan kepada anak dengan mengamalkan minum banyak air kosong

CARA PEMAKANAN YANG LEBIH BAIK

Diet dan gaya hidup yang sihat adalah senjata terbaik anda untuk melawan penyakit kardiovaskular. Bagaimanapun, terdapat banyak maklumat yang bercampur aduk dengan mitos berkaitan dengan pemakanan yang sihat. Adalah tidak mengejutkan andai banyak di antara kita yang terkeliru tentang jenis-jenis lemak. Kita juga ada banyak persoalan berkaitan dengan garam, daging dan hasil tenusu. Dengan semua perbezaan-perbezaan pendapat, adalah baik untuk mendapat maklumat dari sumber yang boleh dipercayai, agar anda dapat membuat pilihan yang bijak bagi diet anda untuk faedah jangka masa panjang terhadap jantung dan kesihatan anda. Corak pilihan keseluruhan andalah yang paling diambil kira.

Makanan Sihat.Apa yang Paling Penting?

Anda mungkin makan banyak makanan, tetapi tubuh anda mungkin tidak mendapat zat-zat yang diperlukannya untuk menjadi sihat. Makanan kaya zat mengandungi mineral, vitamin, serat dan zat-zat lain, tetapi rendah kalori. Untuk mendapat zat-zat yang anda perlukan, kerapkan memilih makanan seperti sayur-sayuran, buah-buahan, produk bijirin dan produk tenusu tanpa lemak atau rendah lemak. Pakar kesihatan mengesyorkan anda makan pelbagai makanan berkhasiat setiap hari dari setiap kumpulan asas makanan.

Garis Panduan Pilihan Makanan Yang Disyorkan

Buah-buahan dan sayuran adalah tinggi vitamin, mineral dan serat – dan ianya rendah kalori. Memakan pelbagai buah-buahan dan sayur-sayuran boleh membantu anda mengawal berat dan tekanan darah anda.

Makanan bijirin tidak hancur mengandungi serat yang boleh membantu menurunkan kolesterol darah anda dan membantu anda berasa kenyang, yang akan membantu anda menguruskan berat badan anda.

Makan ikan sekurang-kurangnya dua kali seminggu. Kajian yang telah dilakukan menunjukkan ikan berminyak mengandungi asid lemak omega-3 boleh membantu merendahkan risiko kematian kerana penyakit arteri koronari. Pilih daging tanpa kulit dan sediakannya tanpa menambah lemak tepu dan lemak trans. Pilih produk tenusu tanpa lemak, lemak 1 peratus dan rendah lemak.

Kurangkan makanan yang mengandungi minyak sayuran separa dihidrogenasikan untuk mengurangkan lemak trans dalam diet anda. Sasarkan untuk makan kurang dari 300 miligram kolesterol setiap hari. Sediakan dan pilih makanan sedikit atau tanpa garam. Sasarkan untuk makan kurang dari 1500 miligram garam setiap hari

TIPS TURUNKAN BERAT BADAN

Turunkan Berat Badan

Mengapa Turunkan Berat Badan?

Jika anda ada terlalu banyak lemak – terutamanya jika kebanyakannya pada pinggang anda – anda berada pada risiko yang lebih tinggi bagi masalah-masalah kesihatan seperti tekanan darah tinggi, kolesterol darah tinggi dan kencing manis. Dan anda tidak sendirian! Lebih 60% dari rakyat Malaysia adalah terlebih berat badan, dengan 50% dari jumlah itu berada dalam kategori obes. Statistik ini adalah mencemaskan kerana obesiti sekarang dikenalpasti sebagai faktor risiko utama dan sendirian bagi penyakit jantung.

Turunkan Berat BadanBMI anda: Indeks jisim tubuh (BMI) menilai berat badan anda relatif kepada ketinggian. Ianya satu ukuran komposisi tubuh yang berguna kerana ia menghubungkaitkan lemak tubuh dalam kebanyakan orang. Jika indeks jisim tubuh anda ialah 25.0 atau lebih, anda akan mendapat manfaat dengan menurunkan nombor anda ke bawah 25. Jika BMI anda adalah 30.0 atau lebih tinggi, anda pada risiko jelas bagi mendapat masalah kesihatan jantung.

Mengapa Menurunkan Berat Badan Penting Untuk Kesihatan Saya?

Bayangkan membawa beg galas 10 kg sepanjang hari, setiap hari. Ia membebankan, samalah juga seperti berat badan berlebihan. Apabila anda membuang lemak berlebihan dan berat yang tidak diperlukan, anda mengurangkan beban jantung, paru-paru, salur-salur darah dan tulang-tulang anda. Anda memberikan diri anda pemberian untuk hidup dengan aktif, merendahkan tekanan darah anda dan juga membantu anda rasa diri lebih baik dan yakin.

Apa Yang Boleh Saya Buat Untuk Menurunkan Berat Badan?

Jika anda terlebih berat badan atau obes, anda boleh mengurangkan risiko anda untuk mendapat penyakit jantung dengan menurunkan berat badan dan mengekalkannya. Malah menghilangkan seserendah dua atau tiga kilogram boleh memberikan penurunan tekanan darah yang dramatik.

Ketahui keperluan kalori anda: Apabila merancang untuk menghilangkan berat badan, ianya penting untuk memahami apakah pengambilan kalori yang disarankan yang perlu bagi jantina, umur dan tahap aktiviti fizikal anda.

Kesan dan jejak kalori anda: Walau jika anda menjejak apa yang anda makan selama beberapa hari, anda akan belajar banyak tentang tabiat anda. Kira jumlah kalori makanan yang anda makan berbanding dengan kalori tenaga yang anda gunakan pada tahap aktiviti fizikal anda. Ianya adalah berkaitan dengan mengimbangkan kalori masuk dan kalori keluar, dan belajar merancang sewajarnya untuknya.

ADAB MENUNTUT ILMU - PANDUAN DARI IMAM AL-GHAZALI

10 adab dalam menuntut ilmu - panduan dari Imam al-Ghazali

Dalam penulisan agung “Ihya’ `Ulum al-Din” karangan Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali, beliau telah membuat satu garis panduan adab pelajar dalam menuntut ilmu. Dalam penulisannya, beliau telah mengenalpasti 10 panduan yang boleh dijadikan asas pedoman kepada para pelajar. Asas-asas ini perlu dihayati dan dicernakan dalam diri para pelajar dalam usaha mereka menuntut ilmu sama ada di peringkat rendah atau di peringkat pengajian tinggi. 

Pertama, menjauhi perkara-perkara yang boleh merosakkan akhlak yang murni, kerana ilmu amat mudah mendekati orang yang baik budi pekertinya dan jiwa yang sentiasa bersih dan tenang. Sekiranya, hati seseorang itu dicemari dengan elemen-elemen yang negatif yang boleh merosakkan kemurnian hati dan jiwa menyebabkan pelajar tersebut sukar untuk menguasai ilmu. Ini kerana secara prinsipnya, ilmu itu bersifat suci. Sebagaimana firman Allah dalam al-Quran yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang-orang musyriq itu najis” (at-Taubah:28).
Istilah najis yang dijelaskan oleh al-Quran merupakan simbolik yang mengertikan sifat kotor tersebut mesti dijauhi dan dihindari disebabkan sifat tersebut boleh merosakkan manusia.
Kedua, para pelajar disarankan tidak terlalu terikat dengan hal-hal keduniaan yang berkecenderungan melalaikan fikiran daripada menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap pelajaran. Unsur-unsur ini boleh menyebabkan pelajar tidak dapat menunaikan tanggungjawabnya sebagai pelajar yang hakiki dan memalingkan fikirannya dalam usaha menuntut ilmu. Hal ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah dalam al-Quran yang bermaksud:
“Allah sekali-kali tidak menjadikan bagi seseorang dua organ hati dalam rongganya” (al-Ahzab:4).
Oleh yang demikian, sekiranya fikiran para pelajar dipengaruhi oleh elemen-elemen yang boleh mencemari mentalitinya menyukarkan untuk mengetahui hakikat ilmu. Menurut Imam al-Ghazali, “Seseorang itu tidak dapat menguasai ilmu secara sebahagian, melainkan ia memberi perhatian dan tumpuan yang sepenuhnya”. Beliau memberi perumpamaan terhadap pemikiran yang dipengaruhi oleh hal-hal yang tidak berkait dengan ilmu seperti air yang mengalir dari sungai kecil, sebahagiannya diserap oleh tanah dan sebahagian lagi diserap oleh udara sehingga tidak ada lagi yang sampai ke ladang.
Ketiga, para pelajar tidak boleh bersikap angkuh dan bongkak terhadap golongan intelektual dan guru. Adalah menjadi kewajipan pelajar untuk menyerahkan segala urusan berkaitan ilmu dan mematuhi serta menghormati guru seperti orang sakit yang mematuhi arahan dan nasihat doktor. Para pelajar dituntut bersifat rendah diri, baik sangka dan setia kepada guru serta sedia menawarkan perkhidmatan kepadanya. Oleh yang demikian, pelajar tidak boleh bersikap sombong dengan guru seperti tidak mengambil manfaat ilmu yang disampaikannya dengan alasan antaranya, beranggapan guru tersebut tidak mempunyai kelayakan akademik yang tinggi. Sikap seperti ini menunjukkan kebodohan dan kedangkalan pemikiran yang ada dalam diri seseorang pelajar. Sebaliknya, para pelajar seharusnya merasa terhutang budi terhadap guru yang mencurahkan ilmu yang memandunya ke arah kebenaran.
Keempat, orang yang bersifat tekun dalam menuntut ilmu pada tahap awalnya perlu mengelakkan diri mendengar perselisihan dan perbezaan pendapat di kalangan manusia sama ada yang melibatkan ilmu keduniaan atau ilmu akhirat. Secara rasionalnya, ia boleh mengelirukan pemikirannya terhadap disiplin ilmu yang baru dipelajarinya dan membantutkan usahanya untuk membuat penyelidikan yang mendalam. Namun begitu, bagi seseorang yang telah menguasai sesuatu bidang disiplin ilmu secara mahir dan mendalam tidak menjadi halangan untuk mengkaji perbezaan pendapat tentang sesuatu perkara. Ini kerana, perbezaan pendapat tentang sesuatu perkara merupakan salah satu daripada metodologi medan penyelidikan ilmu.
Kelima, seseorang pelajar tidak boleh meninggalkan sesuatu disiplin ilmu yang terpuji melainkan ia telah mempertimbangkan dengan sebaik mungkin. Sekiranya faktor usia mengizinkan untuk menuntut ilmu, ia harus mengambil peluang untuk meningkatkan kepakarannya ke peringkat yang lebih tinggi. Sebaliknya jika faktor usia menjadi kekangan terhadap usaha menimba ilmu pengetahuan maka seseorang itu perlu mengetahui perkara asas dan penting dalam ilmu yang dikuasainya berdasarkan kemampuannya.
Keenam, tidak memaksa untuk menguasai semua disiplin ilmu secara sekaligus. Tindakan yang bijak ialah dengan menguasai sesuatu bidang ilmu itu mengikut tahap dan tingkatan ilmu berdasarkan kemampuan dan keupayaan yang ada pada diri seseorang. Kompetensi yang ada pada manusia adalah terbatas oleh pelbagai faktor dari aspek pengalaman, realiti semasa, kepakaran dan keupayaan mentaliti seseorang.
Ketujuh, seseorang tidak boleh mencampuradukkan sesuatu cabang ilmu sebelum menguasai dan memahami dengan mahir cabang ilmu yang sebelumnya. Ini kerana tertib dalam ilmu adalah tersusun dan berkait rapat antara satu sama lain. Oleh yang demikian, sekiranya seseorang pelajar memahami sesuatu ilmu dengan tertib dan tersusun maka ia dapat menguasai sesuatu konsep ilmu dengan baik. Pemahaman manusia tentang konsep ilmu akan lebih sempurna dan konsisten jika setiap cabang ilmu dihadam dan dicernakan mengikut tahap-tahap dan fasa yang tersusun dan terancang.
Kelapan, seseorang pelajar perlu mengetahui hakikat dan objektif sesuatu disiplin ilmu yang dipelajari. Ia bertujuan untuk menilai sesuatu kepentingan ilmu dan faedahnya kepada para pelajar supaya ilmu tersebut dapat diaplikasi dalam kehidupan dan memberi manfaat kepada masyarakat. Matlamat utama ilmu yang dipelajari itu tidak bertentangan dengan syariat dan membawa kemudharatan kepada umat manusia.
Kesembilan, para pelajar perlu bersikap ikhlas dalam menuntut ilmu. Kepentingan nilai ikhlas bertujuan untuk membersihkan jiwa seseorang yang bersifat riak dan takabur sesama manusia. Hakikatnya, manusia yang berilmu memiliki jiwa yang bersih dan sentiasa mendekatkan diri kepada Allah. Meskipun manusia dituntut menguasai ilmu-ilmu agama, namun ilmu-ilmu yang berkaitan dengan keduniaan tidak boleh diabaikan, kerana ia sebahagian daripada fardhu kifayah. Dalam era globalisasi ini, ilmu yang dikategorikan sebagai fardhu kifayah sangat penting bagi masyarakat Islam kerana ia dianggap sebagai satu kemaslahatan ( keperluan ) yang perlu dikuasai oleh umat Islam. Sekiranya manusia mengabaikan bidang disiplin ilmu ini menyebabkan umat Islam ketinggalan dalam zaman yang serba canggih. Dalam al-Quran, Allah berfirman yang bermaksud:
“ Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan” (al-Mujadalah:11)
Kesepuluh, setiap pelajar perlu mengetahui perkaitan ilmu yang dipelajari bertujuan supaya mengutamakan keperluan ilmu yang perlu didahulukan daripada ilmu yang berbentuk sampingan. Keutamaan ilmu ini penting kerana ia dapat mengukuhkan pemahaman pelajar tentang sesuatu perkara. Di samping itu, ia menjadi asas utama untuk mempelajari disiplin ilmu yang lain disebabkan ia mempunyai kesinambungan di antara satu cabang ilmu dengan disiplin ilmu yang lain.
Berdasarkan garis panduan yang telah diberikan oleh Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali dalam kitabnya “Ihya’ `Ulum al-Din” diharapkan dapat memberi pedoman yang berfaedah kepada mereka yang bergelar pelajar. Mutiara kata-kata yang dicurahkan oleh ulama’ silam perlu diambil perhatian dan diamalkan oleh individu yang bergelar pelajar, agar ilmu yang dipelajari diberkati oleh Allah dan dapat memberi faedah besar kepada umat sejagat.
---CEO / Consultant: www.ahmad-sanusi-husain.com
Alfalah Consulting: www.alfalahconsulting.com
Islamic investment: www.islamic-invest-malaysia.com

3 cara mudah untuk meningkatkan kuasa minda

Cari di Google “improve brain power” dan anda akan jumpa pelbagai tip, teknik, buku, dan permainan menunjukkan bagaimana anda boleh meningkatkan kuasa minda anda. Kebanyakkannya melibatkan senaman fizikal, nutrisi seimbang dan senaman mental yang kompleks.
Sungguh seronok jika semua orang mengamalkan tip-tip ini, amat meragui jika selepas membaca nasihat seperti ini anda akan mula berjoging selama sejam setiap pagi dan tukar diet anda dengan menggabungkan lebih fiber dan asid lemak omega-3. Beberapa orang tidak buat seperti ini walaupun mereka mempunyai risiko menghadapi sakit jantung!

Adakah cara yang lebih mudah untuk memberi rangsangan kepada fungsi otak? Ada!
1. Tukar posisi tetikus anda.
Ya, ianya semudah begitu.
Dengan menukar posisi tetikus anda (bagi tangan kanan, tukarkan kekiri manakala yang kidal tukar ke bahagian kanan) anda akan paksa menggunakan tangan bukan dominan. Ini akan merangsang hubungan neural antara kanan dan kiri hemisfera dalam otak. Kajian saintifik mengesahkan, manusia yang menggunakan kedua-dua tangan, samarata, mempunyai 10% lebih saraf fiber yang bercantum kedua belah otak,kiri dan kanan.
Anda mungkin ingin lakukan sebanyak aktiviti yang mungkin dengan tangan bukan dominan, tetapi ianya seperti menyusahkan. Saya telah cuba memberus gigi menggunakan tangan kiri untuk tiga hari atau lebih, apa yang saya dapat adalah tartar di gigi menjadi semakin bertambah.
Menggunakan tetikus pada tangan yang sebaliknya adalah sesuatu yang mudah untuk diamalkan dalam seharian. Pada dua hari yang pertama akan terasa pelik, dan anda mungkin perlu tukar semula apabila perlu melakukan kerja yang memerlukan penggunaan tetikus yang kerap. Selepas fasa meng-adaptasi aktiviti ini, anda dapat menggunakan komputer dengan mudah menggunakan kedua belah tangan.
2. Paksa diri anda untuk ingat
Kadang kala anda mahu mengingati nama sesuatu lagu atau nama kawan lama yang terlintas difikiran. Ianya ada, dihujung lidah anda, tetapi anda tidak ingat. Apa yang anda lakukan bila berlaku seperti ini? Mungkin bertanya kawan yang hampir, dan apabila anda ingat anda berkata ‘Oh yela! Itu la dia.’
Lain kali perkara ini berlaku, anda paksa diri anda untuk ingat. Otak boleh dirangsang seperti otot dan lebih banyak anda lakukan, otak anda akan jadi lebih kuat. Ini boleh dipanggil senaman otak.
Jangan hadkan diri anda untuk mengingat. Adakah anda panggil ibu anda untuk mendapatkan nombor telefon pak cik anda? Lupakan kertas dan pen – anda boleh ingat. Cuba lihat keypad telefon, cuba mencipta gambaran apakah urutan nombornya.
3. Main permainan yang melibatkan berfikir
Anda tidak perlu menyertai dalam Olimpik Matematik untuk meregangkan kemampuan minda anda. Tidak, permainan dan aktiviti yang mudah seperti sudoku atau silangkata sudah memadai untuk memberi impak ketara pada prestasi otak anda.
Kebiasaan amat penting disini, cuba untuk menggabungkan permainan ini atau senaman dalam rutin anda. Anda boleh membawa buku silangkata atau telefon pintar yang mempunyai permainan ini setiap hari, sebagai contoh. Secara peribadi, saya gemar main perlawanan chess setiap hari sebelum mula belajar. Ia hanya mengambil sekitar 15 minit, untuk memastikan otak saya mendapat rangsangan setiap pagi.

Selasa, 1 Oktober 2013

PENGURUSAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

Perancangan dan Persediaan Mengajar
  1 Pengertian konsep pengajaran
    Pengajaran ialah cara-cara yang digunakan untuk menyampaikan bahan yang hendak diajar. Hasil daripada pengajaran berlakulah peubahan yang relatif kekal dalam tingkah laku atau pengetahuan hasil daripada pengalaman. Perubahan merupakan suatu penambahan yang baru, pengukuhan dan pengubahansuaian yang berlaku terhadap anak dididik.
  2 Keperluan perancangan pengajaran dan pembelajaran
    Perancangan perlu dilakukan untuk
   
  • memenuhi masa yang diperuntukan
  • menepati kehendak objektif/matlamat
  • berkesan sepanjang waktu pengajaran
  • menarik perhatian dan tidak membosankan
  3 Objektif pengajaran
    Objektif boleh dalam bentuk
   
  • Objektif implisit
    • melibatkan perubahan tingkah laku yang ketara seperti :
      • memahami
      • atau mengetahui
      • atau menghargai
        sesuatu yang telah diajar
  • Objektif eksplisit
    • melibatkan perubahan tingkah laku yang boleh dilihat seperti :
      • menyenaraikan
      • atau menjelaskan
      • atau memberikan contoh
      • atau menunjukkan cara yang betul
        terhadap apa yang telah diajarkan
  4 Buku rekod mengajar
    Buku himpunan pelan tindakan guru sebelum mengajar. Berdasarkan SPI Bil 3/1999. Buku rekod mengajar wajib mengandungi dua perkara penting :
  • Rancangan Pelajaran Tahunan
    • Rancangan berdasarkan taqwim minggu persekolahan. Mengandungi isi ringkas rancangan penjararan berdasarkan sukatan pelajaran kebangsaan.
    • Butiran yang perlu ada ialah :
      • Mata pelajaran
      • Tingkatan
      • Minggu
      • Tajuk/isi
      • Objektif
      • Kemahiran
      • Nilai dan
      • bahan bantuan mengajar
  • Rancangan Pelajaran Harian
    • Rancangan berdasarkan rancangan Tahunan
    • Butiran yang perlu ada ialah :
      • Hari dan tarikh
      • Mata pelajaran dan tingkatan
      • Masa
      • Tajuk dan Objektif/kemahiran yang ingin dicapai
      • Aktiviti yang dijalankan dan Impak/Refleksi
Buku rekod pengajaran menjadi rujukan dan dokumen penting bagi pihak
  • sekolah
  • PPD
  • JPN
  • dan jemaah nazir sekolah
Ia adalah milik sekolah dan mesti dikembalikan dan disimpan oleh pihak sekolah sebelum cuti sekolah akhir tahun bermula. Ia juga digunakan sebagai sasaran kerja tahunan untuk menilai prestasi kerja tahunan guru.
Rekod P&P boleh juga disediakan dalam apa jua bentuk yang munasabah dan sesuaii dengan teknologi semasa. Rekod P&P dan bahan-bahan lain berkaitan dengan penyediaan rancangan pelajaran tahunan perlu dikemukakan dengan serta merta apabila dikehendaki oleh pihak yang diberi kuasa.

Rekod P&P boleh disimpan dalam bentuk data komputer
Kegagalan menyediakan BRP merupakan satu kesalahan dan jika disabitkan kesalahan, sesorang itu boleh didenda tidak kurang daripada RM500 - berdasarkan Peraturan 11(b), Peraturan-peraturan Pendidikan (Kurikulum kebangsaan)1997 (P.U.A.531)
   

DENDA RM500
    Jadual Waktu
    Berdasarkan Akta Pendidikan 1996, Jadual waktu mestilah ada
   
  • Senarai mata pelajaran yang diajar kepada murid
  • Setiap hari persekolahan
  • Nama guru yang mengajar mata pelajaran dan bilangan waktu mengajar
  • Diluluskan oleh Menteri Pelajaran dan Ketua Jabatan
    Sukatan Pelajaran
    Dokumen yang mengandungi perkara-perkara yang wajib diajar kepada pelajar sebanjang tahun persekolahan. Sukatan pelajaran disediakan oleh bahagian PPK , Kementerian Pelajaran Malaysia. Ia perlu dikemukakan serta merta apabila diminta oleh orang-orang yang diberi kuasa seperti Ketua Pendaftar, Jemaah Nazir dan Pengetua. Jika gagal dan disabit kesalahan boleh didenda.
     
    Aspek-aspek penting dalam perancangan P&P
    Sebelum merancang dan melaksanakan P&P seseorang guru perlulah
  1. Mengkaji dan mentafsir sukatan pelajaran secara mendalam
  2. Memilih kemahiran-kemahiran dan dan isi pelajaran yang sesuai
  3. Merancang pengajarannya
    • Set iduksi
    • Perkembangan P&P
    • Penutup
  4. Menentukan strategi P&P
  5. Menyediakan bahan bantu pengajaran
  6. Menyediakan penilaian
   
    Komponen P&P
    Elemen-elemen yang perlu diambil kira dalam merekabentuk pengajaran ialah
   
  • Objektif pengajaran
  • Strategi pengajaran yang sesuai
  • Bahan bantu pengajaran
  • Maklum balas pelajar
  • Penilaian
    Fasa P&P
    Fasa P&P terbahagi kepada empat peringkat
   
  1. Pra perancangan
    • Guru mempunyai gambaan mental mengenai
      • keseluruhan pengajaran
      • pelajar - potensi, pengetahuan sedia ada dan lain-lain
      • isikandungan pelajaran
      • strategi
      • bahan yang diperlukan dan boleh digunakan
  2. Perancangan aktif
    • Guru perlulah
      • menulis rancangan mengajar
      • menyediakan nota,
      • membina transperansi/power point/model
      • memastikan peralatannya masih berfungsi baik dan sesuai digunakan
      • menyediakan senarai semak
  3. Perancangan semasa
    • Guru perlu
      • mendapat maklum balas tentang kefahaman pelajar
      • mengubahsuai mengikut keperluan dan keadaan semasa
      • mengaitkan dan mengulangi pelajaran yang lepas
  4. Pasca perancangan
    • Guru perlu
      • menyedari kelemahan pengajaran
      • mengesan kekuatan pengajarannya
      • membuat catatan tentang perubahan yang diperlukan
    Sumber-sumber pengajaran dan pembelajaran
    Sumber ialah bahan yang digunakan semasa proses P&P seperti
   
  • buku teks
  • buku rujukan
  • buku latihan
  • lampiran nota
  • Alat audio visual
    • LCD
    • komputer
    • peta
    • gambarajah dan
    • TV

Bahan/Alat bantu mengajar menghidupkan suasana pembelajaran
Perlaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran

Proses P&P
  1 Perlaksanaan P&P
   
  1. Set Induksi
    • Langkah permulaan dalam proses P&P
    • Tujuan - untuk menghasilkan aliran pemikiran dan meransang minat pelajar agar dapat memberi perhatian kepada pengajaran yang akan berlaku
    • Masa - 5 minit / 10% daripada masa pengajaran
    • Teknik - soalan, kejutan, kaitan dengan pelajaran lalu, isu semasa yang berkaitan, gambar atau bunyi
  2. Perkembangan P&P
    • Bahagian kedua
    • Penyampaian isi pelajaran
      1. Teknik penyampaian guru
        • disampaikan berperingkat - dari mudah kepada yang sukar, dari yang konkrit kepada yang abstrak
        • suara yang jelas dan terang
        • menggunakan pelbagai kaedah dengan mengambil kira pengalaman dan potensi murid
        • berfokus kepada apa yang diajar
        • mengamalkan penekanan-penekanan dalam konsep KMSM/KBSR
        • Membuat penilian berterusan
      2. Teknik Menyoal
        • Soalan yang dikemukakan
      3. Penggabungjalinan
      4. Penyerapan
      5. Pengukuhan
        • memberikan latih tubi
        • memberikan tugasan / kerja rumah
        • mengaplikasikan ilmu, nilai dan kemahiran dalam aktiviti pembelajaran
      6. Pengayaan
        • membimbing murid mencari maklumat tambahan
        • menyediakan bahan maklumat tambahan
        • menggalakkan murid belajar daripada maklum balas
        • membimbing murid membuat jangkaan masa depan
      7. Pemulihan
        • membimbing murid secara individu
        • menggunakan pelbagai bahan
        • memberi latihan ulangan
        • menggunakan pelbagai teknik pengajaran
      8. Penilaian
        • pemerhatian
        • soal jawab
        • perbincangan
        • kerja bertulis
        • kerja rumah
      9. Hasil pembelajaran murid
        • memastikan murid dalam keadaan bersedia mengikuti pelajaran
        • melaksanakan pembelajaran arah kendiri (self-directed)
        • mengaplikasikan kemahiran mengambil nota
        • mempersembahkan hasil aktiviti pembelajaran
        • mendapatkan maklumat daripada pelbagai sumber
        • mengemukakan pendapat semasa perbincangan
        • berdisplin
  3. Penutup
    • Bahagian terakhir
    • Aktiviti yang dijalankan seperti :
      • susulan
        1. folio
        2. pengayaan
        3. membuat projek
      • penilaian objektif pengajaran
        1. pemerhatian
        2. teknik menyoal
        3. memeriksa kerja pelajar
      • membuat kesimpulan
      • rumusan
        1. menegaskan isi-isi penting
        2. memberi cadangan dan panduan untuk murid meningkatkan kefahaman
        3. mencadangkan bahan-bahan yang boleh dirujuk untuk meluaskan ilmu
        4. mengaitkan pelajaran dengan keperluan hidup seharian
        5. mengaitkan pelajaran dengan keperluan peperiksaan
      • pengubahsuaian pelajaran

Guru yang berkesan ...tidak membosankan
 
Pengurusan Kelas
  1 Tanggungjawab guru menguruskan kelas
    Guru (guru kelas) juga bertanggungjawab memastikan pengurusan kelasnya teratur dan baik. Guru bertanggungjawab :
   
  1. menguruskan rutin kelas
    • menyedia, mentafsir dan menyimpan rekod pelajar
      • Rekod/buku daftar
      • Jadual kedatangan kelas
      • Rekod/buku/slip  kemajuan pelajar
      • Kad 001 dan 002
      • Rekod kutipan yuran
    • menyedia dan melaksanakan rutin kelas
      • menanda kedatangan
      • memastikan keceriaan kelas
      • mengutip yuran
      • memastikan maklumat dalam kelas dikemaskini
    • menjalankan tugas-tugas lain
      • mengurus pinjaman buku teks
      • biasiswa
  2. mengurus dan memastikan pelajar-pelajar menjalankan tugas harian
  3. mengurus dan memastikan pelajar memahami dan mematuhi peraturan kelas
  4. mengurus keadaan fizikal kelas supaya sesuai untuk proses P&P

Ahad, 29 September 2013

CARA PEMAKANAN ELAK KANSER

Antara cara yang paling efektif bagi mencegah sel kanser dari membiak dan aktif ialah dengan mengambil makanan yang mempunyai nutrisi seimbang dan menghindarkan makanan yang boleh menyebabkan kanser. Antaranya seperti :-
1) Gula adalah pencetus utama kanser. Kurangkan pengambilan gula berlebihan dalam makanan harian. Gantikan pengambilan gula dengan madu (dalam jumlah kecil). Pengambilan garam juga boleh digantikan dengan garam laut (sea salt).
2) Susu adalah pengedar mukus / mucus (sejenis lendiran yang berasid) ke dalam badan melalui laluan usus. Mucus adalah agen pencetus kanser untuk aktif. Kurangkan pengambilan susu terutama sekali susu soya (kerana kandungan mucus dalam susu soya amat tinggi).
3) Kanser juga boleh menjadi aktif melalui makanan yang berasid. Kurangkanlah pengambilan daging merah yang merupakan makanan berasid (contoh : seperti daging lembu). Dan lebihkan makan makanan yang kurang asid seperti ikan segar dan ayam.
4) Kita memerlukan diet 80% makanan seimbang nutrisi dari sayur segar atau jus, bijirin, kekacang, oat dan buah-buahan dalam badan. Manakala 20% lagi adalah dari makanan yang di masak. Makanan segar membantu menyisihkan lemak dalam badan dan menghasilkan se-sel sihat. Digalakkan untuk makan sayur-sayuran dan buah-buahan segar 3 kali sehari.
5) Elak daripada mengambil kopi, teh dan coklat berlebihan kerana ianya mengandungi kafein (caffeine). Gantikan dengan minuman teh hijau sekali sehari. Minum air bersih yang dimasak atau air tapisan (mineral water) lebih 8 gelas sehari. Jangan minum air terus daripada paip, ini amat merbahaya kerana air paip mengandungi banyak asid yang bernama klorofin.
6) Pengambilan makanan tambahan / supplement seperti minyak ikan, anti-oxident, vitamin, mineral, EFA (Essential Fatty Acid) boleh merangsang daya ketahanan badan untuk menghalang pembiakan sel kanser dalam badan.

PETUA PANJANG USIA


GAYA hidup masyarakat semakin berubah. Remaja hari ini lebih banyak menghabiskan masa bermain komputer dan berinternet berbanding di padang bersama rakan-rakan. Mereka lebih seronok menghabiskan masa dengan aktiviti yang tidak mengeluarkan peluh. Dari segi pemakanan pula, anak-anak kita hari ini terdedah kepada pelbagai makanan yang siap diproses berbanding makanan segar hinggakan buah-buahan dan sayur-sayuran tidak digemari oleh mereka. Mereka lebih suka makan makanan segera dan minuman berkarbonat.
Maka tidak hairanlah jika masalah obesiti atau lebihan berat badan banyak melibatkan remaja dan anak-anak moden terutamanya yang hidup di bandar-bandar besar. Bukan sahaja anak-anak, malah orang dewasa juga kurang melakukan senaman rutin. Meskipun sudah hampir lewat malam atau sudah awal pagi masih berada di kedai makan lagi. Sedangkan esok perlu bangun awal dan bekerja. Akhirnya, produktiviti kerja menurun dan kualiti hidup terjejas.
Usia yang panjang itu boleh didoa dan diusahakan. Cuba fikirkan apakah penyebab kepada kematian? Memanglah jawapannya takdir dan ketentuan Allah. Tetapi dalam masa yang sama manusia boleh berdoa untuk meminta dipanjangkan usia. Kalau diperhatikan penyebab utama kepada kematian adalah kemalangan, pembunuhan (termasuk bunuh diri), penyakit kronik (termasuk jantung) dan usia tua. Ini bermakna mati itu pada kebiasaannya bersebab. Oleh itu jika kita meminta panjang umur tetapi dalam masa sama tidak mengamalkan gaya hidup sihat dan sengaja mendedahkan diri pada aktiviti berisiko seperti memandu laju dan cuai, maka kemungkinan doa kita untuk panjang umur tidak dimakbulkan oleh Allah. Kerana setiap doa itu perlu diiringi dengan usaha.
Rahsia kepada usia panjang dan bahagia adalah kehidupan yang seimbang. Terdapat empat perkara yang utama dan perlu diberikan perhatian jika mahu hidup lebih lama dan bahagia.
1. Fikir sebelum makan
Ada orang kata makanan sayang mahu dibuang sebab itu adalah rezeki. Betul, tapi mereka lupa kesihatan tubuh badan juga adalah satu rezeki. Kalau sudah tahu tidak mahu membazir, usah ambil makanan terlalu banyak. Kalau diberikan oleh orang kepada kita, agih-agihkanlah pula kepada orang lain agar tidak membazir. Fikirkan juga sama ada apa yang dimakan itu berkhasiat atau tidak. Budaya terlalu banyak makan makanan yang berlemak, berminyak, bersantan dan bergula hanya memudaratkan kesihatan sendiri.
2. Lakukan senaman secara rutin
Seharian bekerja memang meletihkan. Namun penat bekerja yang tidak mengeluarkan peluh tidak sama dengan penat bersenam yang mengeluarkan peluh. Senaman yang dilakukan secara rutin memastikan badan dalam keadaan baik sehingga ke usia tua. Kalau sudah tidak larat untuk bersukan, cukuplah dengan berlari-lari anak. Kalau berlari-lari anak juga sudah tidak mampu maka usahakanlah untuk berjalan laju beberapa kilometer sekurang-kurangnya dua kali seminggu. Sedikit senaman yang dilakukan secara konsisten boleh mencegah tubuh badan daripada pelbagai masalah penyakit kesan daripada lebihan kalori dan kolestrol .
Senaman yang berterusan juga menguatkan otot-otot serta sendi dan ini penting dalam proses pembakaran lemak. Mereka yang mengalami masalah berat badan biasanya malas bersenam. Sebaliknya mereka menjadi kuat makan dan kuat tidur. Gejala ini memburukkan lagi keadaan hingga membawa kepada pelbagai masalah penyakit serta keyakinan diri yang rendah.
3. Sentiasa positif
Ada ketikanya berfikiran positif itu tidak menyelesaikan masalah yang ada, tetapi tanggapan ini mengubah cara kita melihat masalah itu dan ini secara tidak langsung mengurangkan tekanan emosi pada diri. Malah berfikiran positif juga ada ketikanya membolehkan kita memecah kebuntuan terhadap sesuatu masalah yang selama ini terasa begitu rumit. Apa yang menariknya, berfikiran positif mampu mendorong orang yang positif kepada kita untuk membantu menyelesaikan masalah. Mereka yang positif percaya setiap yang berlaku ada sebab-sebabnya dan mereka belajar sesuatu daripadanya. Dari segi hubungan sosial, mereka yang positif sentiasa bersangka baik, berusaha memperbaiki hubungan, berlapang dada dan suka memaafkan orang lain.
4. Menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah
Mereka yang mencari bahagia, menyerahkan sepenuh jiwa raganya kepada Allah. Hidupnya untuk beribadah kepada Allah. Apa juga yang dilakukan diniatkan kerana Allah. Mereka ini menjaga ibadah wajib dan menambah ibadah sunat. Mereka sentiasa mencari ruang untuk membuat kebajikan, pemurah, suka menolong orang dan hatinya sentiasa mengingati Allah dalam apa juga keadaan dan perbuatan. Mereka percaya tidak ada satu pun musibah yang boleh berlaku melainkan dengan izin Allah. Tahap keyakinan dan tawakalnya terhadap qada’ dan qadar Allah cukup tinggi. Hidupnya tidak dalam keluh kesah, apa lagi merintih atau merungut. Sebaliknya hatinya dididik untuk sentiasa reda dan syukur dengan apa yang diperolehi setelah segalanya diusahakan dengan baik dan bersungguh-sungguh. Hidup mereka berpaksikan akidah yang mantap, melakukan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah.

MAKANAN KURANGKAN KOLESTROL

Kolesterol ialah bahan berlemak (lipid) yang merupakan sebahagian daripada membran luar sel dalam badan haiwan. Ia juga ditemui dalam edaran darah Manusia. Dua sumber utama kolesterol dalam darah diperoleh daripada pemakanan dan pengeluaran hati.
Kolesterol pemakanan datang daripada daging, ayam, ikan dan produk tenusu. Selepas makan, kolesterol diserap oleh usus ke dalam peredaran darah dan diselaputi oleh protein. Kolesterol bersalut protein ni dipanggil “chylomicron”.
Hati mampu menyingkirkan kolesterol daripada peredaran darah dan juga menghasilkan kolesterol serta merembeskan kolesterol ke dalam peredaran darah. Selepas makan, hati mengeluarkan “chylomicron” daripada peredaran darah. Di antara waktu makan, hati menghasilkan dan merembeskan kolesterol kembali ke dalam peredaran darah.
Kolesterol tidak boleh larut dalam darah kecuali jika ia bergabung dengan protein khas yang dipanggil lipoprotein. Kolesterol yang dirembeskan oleh hati ke dalam darah boleh bergabung dengan lipoprotein ketumpatan amat rendah (VLDL) atau lipoprotein ketumpatan tinggi (HDL).
Kolesterol LDL yang terhasil daripada metabolisme kolesterol VLDL dalam aliran darah, dikenali sebagai kolesterol ‘jahat’ manakala kolesterol HDL dikenali sebagai kolesterol baik.
Kolestrol penyebab serangan jantung
Seseorang individu terdedah kepada serangan jantung apabila dia mempunyai kolesterol LDL yang lebih tinggi daripada kolesterol HDL.
Lipoprotein LDL menyebabkan kolesterol melekat pada dinding arteri, menyebabkan pembentukan bahan keras dan tebal yang dipanggil plak kolesterol. Lama-kelamaan, plak kolesterol menyebabkan dinding arteri menebal dan saluran arteri semakin sempit, satu proses yang dipanggil “atherosclerosis”.
Arteri koronari membekalkan darah dan oksigen kepada otot jantung. Bila arteri koronari menyempit disebabkan “atherosclerosis”, ia tidak mampu membekalkan darah dan oksigen secukupnya kepada otot jantung. Kekurangan oksigen ke otot jantung menyebabkan dada sakit, juga ketulan darah dalam arteri yang menyebabkan saluran itu tersumbat dan membawa kepada kematian otot jantung (serangan jantung).
Zarah kolesterol HDL menghalang proses “atherosclerosis” dengan menarik kolesterol daripada dinding arteri dan menyingkirkannya melalui hati, untuk dibuang menerusi hempedu. Ia juga mengganggu pengumpulan kolesterol pada dinding arteri oleh zarah kolesterol LDL.
1. Kacang Soya
- mengandungi 48 peratus protein, lesitin, vitamin dan zat galian
- mampu menghindari penyakit jantung dan kencing manis
- kandungan kalsium dan mineral membantu memecah lemak sambil menyusutkan kadar lemak jahat atau lipoprotein ketumpatan rendah (LDL) dan meningkatkan kadar lemak baik atau lipoprotein ketumpatan tinggi 
 
2. Kuaci
- kaya dengan kandungan zat besi
- amalkan makan kuaci jenis tawar seperti biji labu atau bunga matahari untuk menamba zat besi sambil mengurangkan kolesterol
3. Buah kering
- buah kurma kaya dengan serat dan kandungan flavanoid
- mampu menyingkirkan lebihan lemak LDL dan mengurangkan risiko penyakit jantung
- flavanoid juga terdapat dalam the, brokoli, tomato, bawang dan buah delima
4. Epal
- makan sebiji epal atau jusnya setiap hari dapat mengurangkan kolesterol dalam badan
- memakan makanan segera dan kemudiannya makan epal atau jusnya dapat mengimbangi kandungan zat dan mencegah pembentukan lemak
5. Ikan Tuna
- sumber asid omega-3 selain salmon dan sardin
- melindungi tubuh daripada peningkatan kadar kolesterol LDL
 
 6. Kacang tanah
- kacang tanah yang dipanggang mengandungi lemak sihat dan kaya vitamin E
- Vitamin E dapat membantu  menghalang radikal bebas daripada merosakkan kandungan HDL dan dapat mengelak daripada serangan jantung
7. Buah Mangga
- kaya vitamin C
- vitamin C berupaya mencegah LDL dalam badan
- selain buah mangga buah lain ialah belimbing, kedondong, betik, rambutan, strawberi dan kiwi
8. Kismis
- mengandungi sebatian yang mampu menurunkan kolesterol
- amalan diet 400 kalori kismis setiap hari boleh menrunkan kadar kolesterol dalam darah sebanyak 8 peratus
 
9. Jambu batu
- disyorkan makan buah jambu batu dalam jumlah 400 gram atau sebiji sehari selama empat minggu
- dapat menurunkan paras kolesterol sebanyak 18.8 peratus dan baik untuk wanita yang ingin menurunkan berat badan

PENYAKIT EKZEMA

Penghidapnya sengsara akibat desakan menggaru, kulit luka
RAMAI menyangkakan persekitaran atau cara hidup yang tidak mengutamakan kebersihan sebagai penyebab terjadinya jangkitan atau kegatalan kulit. Namun, hakikatnya, persekitaran yang terlalu bersih juga boleh menyebabkan jangkitan, kegatalan atau alahan kepada kulit.
Penyakit ekzema , kegatalan atau radang kulit misalnya, lebih banyak ditemui di negara maju, yang kebiasaan rakyatnya mengambil berat mengenai kebersihan. Bilangan penghidap ekzema yang tinggi dicatatkan di negara maju sejak tiga dekad yang lalu.
“Ia barangkali disebabkan persekitaran terlalu bersih di negara maju hingga membuatkan sistem imun badan seseorang itu malas, seterusnya tidak dapat membezakan antara unsur baik ataupun jahat.
“Sistem imun yang malas ini akan bertindak balas dengan setiap bakteria yang ada hingga membuatkan seseorang terlampau sensitif dan mudah mendapat alahan,” kata Perunding Dermatologi Pediatrik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Leong Kin Fon.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran kempen menentang ekzema di Malaysia,‘United Against Itch’, anjuran LEO Pharma baru-baru ini.
LEO Pharma, sebuah syarikat farmaseutikal berasaskan penyelidikan dari Denmark bekerjasama dengan doktor tempatan dan antarabangsa untuk menentang ekzema, penyakit kulit yang dihidapi dua daripada 10 rakyat Malaysia, namun boleh dirawat. Pengurus (Negara) LEO Pharma, Tan Keng Aun berkata, kerjasama yang dijalinkan ini bertujuan untuk mewujudkan kesedaran mengenai ekzema serta memberitahu masyarakat bahawa ada harapan untuk penghidapnya mengawal penyakit ini.
Mengulas lanjut masalah ekzema , Dr Leong berkata, berdasarkan pemantauan penyelidik, ada kaitan antara kebanyakan pesakit ekzema dengan tahap pembangunan negara. Sebagai contoh, di Malaysia, sejumlah 12.6 peratus penghidap ekzema adalah murid sekolah berbanding Indonesia, kira-kira 3.7 peratus. Fenomena ini turut dilihat di bahagian Malaysia Timur yang mana kadar penghidapnya lebih rendah jika dibandingkan dengan Semenanjung.
Dr Leong berkata, antara ciri ekzema adalah kegatalan kulit yang membuatkan pesakit sentiasa ingin menggaru. Kulit penghidap ekzema juga sangat kering kerana tiada lapisan yang menahan cecair daripada dalam kulit.
Malah, ada interaksi dinamik antara genetik dan persekitaran sebagai pencetuspenyakit ekzema selain faktor tabiat gatal dan menggaru, cuaca panas, kering, peluh, bakteria, sabun atau pencuci yang mengeringkan kulit, alahan makanan dan hama.
“Seseorang juga boleh menghidap ekzema kerana faktor genetik atau immunologik serta kecenderungan pembiakan mikrob,” katanya.
Kulit pesakit ekzema biasanya sangat gatal, kemerahan dan kadangkala melepuh ketika mengalami serangan. Akibat kerap menggaru, kulit bukan saja semakin rosak, tetapi membolehkan bakteria Staphylococcus aureus (S. aureus) yang 95 peratus ada pada kulit penghidap ekzema atopik (permukaan), berjangkit dan membiak.
Akibatnya, kulit bukan saja lebih berisiko menjadi kering dan rapuh, tetapi ia juga semakin sensitif kepada impak bahan kimia atau elemen lain yang menimbulkan alahan.
“Apabila bakteria memasuki bahagian kulit yang renggang dan rosak kerana digaru, resapan toksin membuatkan kulit terus membengkak dan kegatalan yang teramat. Jangkitan ini memperlahankan lagi penyembuhan penyakit ini. Lama-kelamaan, kulit semakin bersisik tebal dan berkerak,” katanya.
Mereka yang mengalami ekzema sering terbelenggu dalam kitaran gatal dan desakan untuk menggaru bagi suatu tempoh yang lama. Bagi merawat penyakit ini, kitaran ini harus diputuskan.
Dr Leong berkata, ekzema boleh dikawal dengan penggunaan ubat yang dapat membantu memecahkan kitaran gatal-garu, memberikan kelegaan pantas daripada kegatalan, malah menghilangkan kelepuhan kulit dengan lebih baik.
Beliau juga lebih mengutamakan aspek konsultasi bersama ibu bapa atau penjaga kanak-kanak bagi memberi mereka pemahaman yang sewajarnya mengenai penyakit ini.
“Kaedah yang boleh diamalkan bagi mengawal ekzema adalah dengan menyeimbangkan faktor pencetus serangan ekzema.
“Penyakit ini tidak dapat dipulihkan, maka kawalan atau pengurusan yang baik diharap dapat mengurangkan atau memendekkan tempoh serangan, sekali gus menjadikan kanak-kanak yang lebih gembira,” kata beliau.
Perunding Dermatologi di Hospital Hammersmith, United Kingdom, Prof Anthony Chu, berkata ekzema bukan sekadar masalah penghidapnya semata-mata, tetapi turut memberi kesan kepada persekitaran dan kehidupan keluarga itu, termasuk waktu tidur mereka. Ini disebabkan anak kecil yang menderita ekzema kerap menangis dan sukar tidur dan sekali gus turut menjejaskan perkembangan fizikal mereka.
“Apa yang penting, ibu bapa, penjaga dan keluarga kanak-kanak perlu cekal menguruskan anak yang menghidap ekzema. Secara semula jadinya, penyakit ini akan beransur hilang apabila kanak-kanak itu menginjak dewasa.
“Majoriti pesakit menghidapnya sebelum mencecah usia lima tahun dan 50 peratus daripadanya pula pulih apabila mencapai usia 10 tahun. Jarang pesakit terus menghidap ekzema dari kecil hingga dewasa,” katanya.
Justeru, beliau menyarankan supaya ibu, bapa dan penjaga saling membantu dalam menguruskan anak yang menghidap ekzema dan mencari kaedah paling sesuai bagi mengurangkan ketidakselesaan yang ditanggung anak mereka.
“Dari segi pengambilan ubat pula, ramai ibu bapa yang agak keberatan apabila diberitahu anak mereka perlu diberikan ubat yang mengandungi steroid kerana bimbangkan kesan sampingannya.
“Tanggapan begitu sewajarnya diubah. Sapuan ubat steroid dapat membantu mengawal penyakit ini dengan baik, dengan syarat ia digunakan dengan betul berdasarkan nasihat pakar.
“Selain itu, ibu bapa juga perlu berwaspada dalam memilih ubat. Walaupun ubat yang mungkin menjadi pilihan mereka itu berasaskan herba, tidak bermakna ia selamat diambil,” kata beliau.
Sementara itu, Pengurus (Negara) LEO Pharma, Tan Keng Aun berkata, kerjasama yang dijalinkan ini bertujuan untuk mewujudkan kesedaran mengenai ekzema serta memberitahu masyarakat bahawa ada harapan untuk penghidapnya mengawal penyakit ini.
INFO: Rawatan konvensional untuk ekzema
  • Mandi setiap hari dengan produk mandian yang lembut dan merawat kulit kering
  • Gunakan pelembap pada kulit
  • Sapu ubat sapu yang mengandungi steroid atau ubat sapu penghalang calcineurin
  • Sapu antibiotik
  • Penggunaan sedatif antihistamin
Bagaimana untuk mengurangkan kitaran gatal-garu?
  • Pastikan kuku pesakit sentiasa pendek
  • Gunakan balutan tuala basah untuk anak kecil
  • Sedatif antihistamin
  • Sapuan dengan krim emolien
  • Gunakan tuala sejuk untuk mengelak daripada menggaru
  • Sokongan psikologi