Pages

Selasa, 24 September 2013

TIPS TURUNKAN BERAT BADAN



Cepat turun berat badan


Ramai berpendapat bersenam untuk kurus namun pandangan ini kurang tepat. Bersenam sebenarnya adalah untuk me­ngekalkan kecergasan badan. Tidak guna mendapat bentuk tubuh diinginkan seandainya badan tidak cergas. Kesihatan optimum tidak akan dapat dicapai sekiranya aspek kecergasan fizikal diabaikan sekalipun pada bulan puasa.
Bagi kekal cergas sepanjang Ramadan, aktiviti fizikal sama penting dengan pemakanan. Setiap individu perlu melakukan aktiviti fizikal ringan yang berintensiti rendah bagi terus me­ngekalkan tahap kesihatan sewajarnya.
Menerusi kajian Jurnal Fisiologi Gunaan, berpuasa sebelum bersenam meningkatkan penggunaan lemak dan menurunkan kadar glikogen otot (iaitu karbohidrat yang disimpan dalam otot). Satu kajian dalam Jurnal Pemakanan pula mendapati penurunan berat badan oleh individu berpuasa yang turut melakukan senaman lebih cepat iaitu sebanyak 27 hari berbanding 41 hari.

Ini diakui Juruterapi Senaman Bertauliah Kementerian Kesihatan Malaysia, Redza Benjamin yang mengatakan berpuasa tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengelak melakukan aktiviti fizikal kerana ketika berpuasa, kalori lebih mudah terbakar.
BERJALAN perlahan di kawasan curam antara aktiviti fizikal yang boleh dilakukan ketika berpuasa.

Namun bukan semua senaman boleh dilakukan. Individu harus memilih senaman ringan yang tidak menimbulkan kemudaratan selain menambah kecergasan. Memandangkan paras glikogen dalam badan ketika ini sangat rendah, senaman berintensiti rendah atau sederhana seperti berjalan kaki dan berjoging pada waktu petang memang digalakkan kerana aktiviti fizikal ini mampu membakar lemak sekali gus menurunkan berat badan.

“Bagi mereka yang ingin menurunkan berat badan, pilih aktiviti fizikal mudah serta ringan seperti berjalan kaki kerana ia senaman paling senang dan boleh dilakukan di mana saja pada bila-bila masa. Seseorang itu perlu membabitkan diri dalam aktiviti sederhana yang akan merangsang kontraksi otot. Latihan terdiri daripada berjalan kaki, regangan dan menarik nafas panjang yang boleh dilakukan sebelum berbuka puasa bagi menambah penyimpanan tenaga apabila selesai latihan,” katanya.

Redza yang juga Penasihat Bersama Penyelidikan Yayasan Institut Jantung Negara dan Universiti Teknologi Malaysia menjelaskan ketika berpuasa, tenaga yang digunakan dalam aktiviti kecergasan tidak datang daripada makanan, sebaliknya daripada lemak sedia ada. Ini yang menjadi kelebihan bersenam ketika berpuasa kerana banyak kalori atau lemak boleh dibakar.

Bagi mereka yang terbabit dalam aktiviti fizikal sebelum Ramadan, sangat penting bersenam sejurus sebelum atau selepas berbuka puasa. Bagi mereka yang tidak menjadikan senaman secara konsisten pula boleh melakukan regangan, berjalan dan naik turun tangga secara beransur-ansur bagi meningkatkan intensiti (pada bila-bila masa diperlukan) dan melaksanakannya dalam tempoh yang cepat atau sejurus sebelum atau selepas berbuka puasa.

“Sebagai contoh, jika kebiasaannya anda berjoging selama satu jam tanpa henti, ketika berpuasa memadailah dibuat sekitar 30 minit. Berhenti serta-merta apabila mula terasa pening. Siapkan juga bekalan seperti beberapa biji kurma dan air kosong sekiranya senaman dilakukan di luar rumah seperti di taman,” katanya.


Kebaikan berjalan kaki

Ramai tidak tahu berjalan kaki ketika berpuasa mampu melakukan metabolisma (memproses) makanan yang dimakan untuk digunakan sebagai tenaga. Ia juga menyihatkan jantung dan mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular dengan merendahkan paras kolesterol.

Berjalan kaki juga membantu mengawal tekanan darah, mencegah penyakit darah tinggi serta strok dan mengurangkan risiko kanser usus, payudara dan prostat.

Bagi penghidap diabetes, senaman jalan kaki baik untuk mereka kerana ia meningkatkan keupayaan badan memproses gula dan membantu aliran darah.

“Berjalan kaki cara paling mudah kerana ia membantu mengawal berat badan. Bagi mereka yang mengalami tekanan juga digalakkan berjalan kaki kerana ia merangsang penghasilan hormon endorfin yang membuatkan kita lebih ceria dan sihat. Berjalan kaki juga dapat mengekalkan kekuatan otot dan mengurangkan risiko osteoporosis,” jelasnya.

Melewatkan waktu senaman kardio menghampiri waktu berbuka sememangnya sangat digalakkan, sebaiknya dilakukan satu jam sebelum berbuka. Ini supaya ketika selesai senaman, anda boleh minum air dan mengisi perut dengan dengan nutrien diperlukan. Pastikan hida­ngan untuk berbuka sudah disediakan sebelum memulakan senaman bagi memudahkan anda terus berbuka puasa sebaik selesai bersenam.

Dalam pada itu, persediaan secara psikologi turut memainkan peranan dalam menjayakan senaman pada bulan puasa. Antaranya mengetahui fisiologi badan ketika berpuasa, tenang, mempunyai minat dan mengetahui tujuan serta aktiviti senaman yang dilakukan.

Namun anda tetap perlu mendapatkan nasihat doktor atau ahli fisioterapi jika mengalami masalah kesihatan seperti tekanan darah tinggi, kencing manis atau jantung. Melakukan senaman juga membolehkan kita meningkatkan fizikal dan rohani bagi menghadapi cabaran pada Ramadan seperti melakukan solat Tarawih sepanjang malam yang memerlukan ketahanan minda dan kekuatan otot terutama pada bahagian kaki.

Walaupun keperluan sebenar ketika berpuasa adalah air berbanding makanan, aktiviti seperti berlari dan berjoging dengan pelbagai jenis senaman kardio turut menyebabkan kehilangan kandungan air di dalam badan menerusi proses pernafasan dan perpeluhan. Tanda mudah yang menunjukkan seseorang itu kekurangan air dalam badan ialah keletihan, pening, mudah mengalami kekejangan dan warna air kencing menjadi kuning pekat.

“Cuba minum air kosong dengan banyak selepas berbuka dan sepanjang malam bagi menggantikan kehilangan air ketika proses bersenam,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan